Monday, April 19, 2004

a clipping from utusan malaysia online - today:
Apa salahnya melindungi mereka
Redup pandangan mata bayi comel itu meruntun pilu hatinya dan kala dilepaskan pelukan, renungannya semakin pilu seperti ada air jernih yang bertakung, seolah-olah mohon simpati agar dirinya usah disisih.

Dicekalkan hati meninggalkan bayi yang tidak berkedip merenung, tetapi langkahnya longlai dan tidak bermaya, sifat keibuan yang dikurniakan Tuhan cukup menebal.

Norlina Alawi, 34, membulatkan tekad memeluk erat dan mahu memelihara anak itu dengan penuh kehangatan kasih seorang ibu sejati.

Walaupun sesetengah masyarakat masih mempunyai stigma terhadap pembawa virus HIV dan pesakit AIDS, hati Lina tidak berganjak daripada keputusan.

``Umur Iman tiga bulan saya disahkan hamil dan syukur akhirnya dapat juga dia merasai susu ibu apabila Sofea, anak saya ke enam dilahirkan,'' katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Nirwana, Ampang baru-baru ini.

Lina boleh memilih tidak mengendahkan Iman, biarkan bayi kecil itu dengan nasibnya. Sedangkan dia boleh meneruskan hidup bahagia di samping enam anak-anak dan suami dan terus menjalankan perniagaan katering miliknya.

Tahun lepas, sekali lagi hatinya yang cukup sensitif dengan penderitaan anak-anak HIV dan AIDS telah diuji.

``Muhammad Ameer Redzuan, 7, merupakan anak hasil perkahwinan ibunya dengan pembawa virus HIV. Sebelum berkahwin kedua-duanya penagih dadah dan ketika Ameer berumur tujuh bulan, ayahnya meninggal akibat AIDS.

Menurut Lina, Ameer hidup dalam ketakutan dan trauma kerana sering didera dan hidup merempat dengan menjual tin kosong mencari sesuap nasi.

Hasil dua perkahwinan, ibunya mempunyai enam anak namun pada tahun lepas ayah tiri meninggal akibat AIDS. Selepas dua bulan, ibunya pula menyusul dalam usia 32 tahun.

``Anak-anak bertabur menagih simpati saudara mara terdekat tetapi kedua-dua anak lelaki, Ameer dan adiknya Muhammad Nurhamezan, 4, tidak sanggup dipelihara oleh sesiapa pun,'' katanya simpati

``Sejak tinggal bersama, mereka lebih ceria dan bersemangat meneruskan hidup jika dibandingkan ketika awal dahulu sering ketakutan dan dibayangi dengan penderaan dan kesempitan hidup,''katanya yang kini dalam pengesahan jawatan sebagai Penaja Ketua Cawangan UMNO Taman Desa Aman, Cheras.

Selepas memperolehi sembilan anak termasuk enam anaknya sendiri, ibu muda ini mula merencana masa depan yang lebih cerah buat anak-anak kepada pesakit AIDS.

Pada 17 Mac lepas beliau menerima pengesahan penubuhan Persatuan Kebajikan Anak Pesakit HIV/AIDS Nurul Iman, Malaysia (PERNIM).

``Tujuan penubuhan ini memberi perlindungan kepada kanak-kanak pembawa virus HIV dan AIDS memandangkan jumlah mereka yang semakin bertambah dan disingkir oleh sebahagian masyarakat,'' katanya.

Kata Lina, kumpulan kanak-kanak itu tidak berdosa untuk dihukum atas kesalahan yang tidak dilakukan sebaliknya mereka berhak mendapat perlindungan dan kasih sayang daripada masyarakat Malaysia yang amat prihatin dengan kesusahan hidup orang lain.

``Persatuan kini sedang mengumpul dana untuk memiliki rumah sendiri bagi menempatkan dan memelihara anak-anak ini menjalani kehidupan normal, di samping kemudahan lain seperti kenderaan untuk memudahkan mereka ke sekolah.

``Jika ada pihak-pihak tertentu yang mahu menjadikan mereka ``anak angkat'' ia amat dialu-alukan kerana pada masa ini permintaan untuk menempatkan anak-anak yang senasib dengan Iman semakin bertambah,'' katanya yang juga merupakan Yang Di Pertua Persatuan.

Menurut Lina, pusat perlindungan itu akan berfungsi seperti rumah perlindungan yang lain khusus untuk memberi harapan dan sinar baru kepada anak-anak pesakit HIV dan AIDS di negara ini tanpa menghadkan bilangan.

``Jika persatuan mendapat kerjasama daripada orang ramai dan badan-badan tertentu, operasi akan lebih cepat dijalankan. Impian saya mahu menjadikan mereka sebuah keluarga besar dan mencurah kasih sayang sepenuhnya. Mereka boleh panggil saya mama sampai bila-bila kerana sememangnya mereka adalah anak-anak saya di dunia dan akhirat,'' katanya menyeka air mata.

Kepada insan prihatin yang ingin menyumbang kepada PERNIM, hubungi 013-3580595 bagi mendapatkan keterangan lanjut mengenainya.